Islamic Widget

Sunday 28 November 2010

Redhakanlah Dia Pergi

28 November 2010... tarikh bahagia yang mungkin amat dinantikan oleh segelintir manusia. Namun, kebahagiaan orang lain kadangkala bermakna kesengsaraan bagi segelintir yang lain pula. Mungkinkah kerana kebahagiaan itu dibina atas kesengsaraan org lain..? Diri ini bukanlah seorang yang layak menasihati, tetapi hanya cuba menyelami isi hati mereka yang tersayang.
Ini adalah sesuatu yang dialami oleh seseorang yang rapat denganku. Tarikh keramat ini benar-benar mengguris hati perempuannya. Masakan tidak.. tarikh ini bakal menyaksikan penyatuan 2 jiwa yang pastinya merobek hatinya. Pada tarikh ini, seseorang yang pernah disayangi sepenuh hatinya akan diijabkabulkan dengan orang lain. Ya Allah, Kau tabahkanlah hatinya...
Ingin sahaja daku menegurnya kerana masih terkenangkan kisah lampau. Namun, apa dayaku... tika mengimbau kembali kisah silam diri ini, daku malu sendiri.. Andai diri sendiri tidak mampu daku perhalusi, mana mungkin diri ini dapat memperbetulkan orang lain? Ringan sahaja mulut ini mahu menyatakan padanya, “Cari sahaja yang lain. Ramai lagi yang lebih baik daripadanya” atau “Bersabarlah.. pasti jodohmu adalah yang lebih baik drpdnya”. Namun, dapatkah daku menerima nasihat ini sebagaimana daku ingin dia menerimanya..? Soalan yang memerangkap diriku sendiri pastinya. Namun, daku mengharapkan itu semua hanya responsku di masa lalu. 9 tahun yang amat menyedihkan untuk dikenang tetapi itu jugalah kenangan yang perlu dijadikan panduan hidup, bukan pengukurnya.
Memang amat pahit untuk ditelan. Namun itulah realiti kehidupan. Apa yang pasti, kita perlu bermuhasabah diri. Apa yang mampu diri ini berpesan padanya hanyalah sesuatu yang basic kerana kurangnya ilmu dan pengalamanku. Yang pasti, segala apa yang berlaku adalah satu ketetapan yang telah Allah sediakan untuk setiap hambaNya. Yakin dan percayalah bahawa perkara yang berlaku itu ada hikmahNya yang menjadi rahsia Allah. Andai diizinkan Allah, satu hari nanti kita pasti akan memahami mengapa sesuatu perkara itu direncanakan sebegitu rupa. Perancangan hebat Allah pasti mengandungi hikmah yang tidak dapat diduga oleh sesiapapun.

Justeru, mohonlah pada Allah agar diri diberi kesabaran dan ketenangan tatkala meniti hari ini dan hari-hari yang mendatang. Yakinlah, dia bukan jodohmu kerana milikmu pastinya yang lebih baik drpd itu. Redhakanlah pemergiannya bersama orang yang disukainya. Andai benar kamu begitu mencintainya, izinkanlah dia bahagia biarpun ia bermakna dirimu sendiri akan merana. Tidak ada hadiah lain yang paling berharga buat seorang yang dikasihi dan disayangi melainkan pengertian dan pengorbanan. Semoga Allah akan mengurniakan kepadamu pula seorang suami yang akan lebih mencintai dirimu sepenuh hati, melebihi cintamu pada si dia yang dahulu. Yang paling penting, sentiasalah ingat bahawa cinta yang paling utama hanyalah pada Allah dan semoga cinta si dia yang baru dapat menolong kita mendakap cinta Illahi yang Maha Agung. Insya Allah...

“Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.”

Maaf kerana terpaksa post di sini. Daku tidak sanggup melihat air matamu mengalir. Tetapi, daku amat berharap dan berdoa agar dikau beroleh ketenangan juga nanti. Biarkanlah kenangan pahit itu berlalu pergi. Maafkanlah dia. Dia hanya manusia biasa yang banyak salah dan silapnya. Meninggalkanmu mungkin salah satu drpdnya... namun, yakinlah, itulah dia ketentuan Allah.
Maaf kupohon darimu atas tulisan ini.


~Berhenti apabila cukup, memadai apabila sederhana~

2 comments:

  1. teacher.. rase tenang tgk blog teacher tau.. so many information, islamic... ;)

    ReplyDelete
  2. yg baik semuanya dr Allah.. tp di sini terlalu byk yg kurang krn masih kurangnya ilmu dan pengalaman. semoga dpt dikongsi kisah dr pengalaman sendiri mahupun rakan2 lain utk panduan di masa hadapan, insya Allah. Amin.

    ReplyDelete