Islamic Widget

Thursday 25 November 2010

Hebatnya Perancangan Allah

Semalam, daku menerima satu berita yang menggembirakan. Alhamdulillah. Satu kejutan buatku kerana sesungguhnya daku tidak pernah meletakkan apa-apa harapan. Ia adalah kerana semua orang akan melaluinya bila cukup masanya. Jadi, diri ini hanya menunggu masa yang ditetapkan. Hanya daku panjatkan kesyukuran kerana Allah memberikan daku peluang itu sekarang.. pada masa yang sangat tepat. Aku amat memerlukannya sekarang, bukan lebih awal atau lewat dari ini. Hebatnya perancanganMu, Ya Rabb. Memang benar, segala ketentuan Allah telah direncana dengan rapi dan baik sekali. Pasti ada hikmah yang menjadi rahsiaNya, dan bukan hak kita untuk mempersoalkannya. Hanya sabar dan redha dengan apa yang telah Dia tentukan... dan sentiasa memohon agar sentiasa diberikan apa yang terbaik mengikut perkiraanNya, bukan manusia biasa.
Biarpun berita baik itu kuterima bersama-sama beberapa perkara yang mendukacitakan.. diri ini tidak mahu yang buruk itu dijadikan alasan lagi. Cukup.. diri ini telah menjadi sangat tidak bertimbangrasa sedikit masa dulu.. dek kekecewaan dengan sikap segelintir manusia. Namun, itu ingin kutinggalkan.. Biarlah apa yang ingin diperkatakan kerana diriku semakin yakin dengan janji Allah. Dia tidak pernah mensia-siakan hambaNya. Hanya Dia jugalah yang akan menguruskan segala-galanya.. Cukuplah Allah bagiku. Kerana Dia juga yang akan menolongku di saat tiada seorang pun yang mempercayai diri ini. Benar jugalah, Dia hanya ingin menduga hambaNya. Biarpun betapa berat dugaan itu, pasti dapat ditempuhi kerana Allah menguji hambaNya dengan apa yang termampu dipikulnya. Bersabar dan bertawakkallah dalam kehidupan ini. Sesuatu yang terjadi itu, tentu ada hikmahNya.
Kini, diri ini mahu menjadi seorang “Nora” yang dulu. Yang sentiasa ingin memberikan hanya yang terbaik untuk semua orang, kawan mahupun lawan. Kerana lawan itu akan ku”paksa” ia menjadi kawanku juga. Akan kugunakan apa yang Allah kurniakan pada diri ini untuk kebaikan semua biarpun mungkin tidak semua yang akan menyenanginya. Tetapi usaha yang baik dan murni akan diberikan jalan kemudahan dan penyelesaiannya oleh Allah , bukan? InsyaAllah... semoga diri ini tidak pernah berhenti berharap pada Allah. Sentiasa memohon petunjuk dan hidayahNya. Sentiasa bersabar dalam berdoa. Sentiasa yakin, Allah yang berkuasa atas segala sesuatu, justeru pohonlah hanya dariNya. Semoga diri ini tidak pernah lupa kasih sayang Allah mengatasi segalanya. Cukuplah Allah bagiku.


~Berhenti apabila cukup, memadai apabila sederhana~

No comments:

Post a Comment