Islamic Widget

Wednesday, 15 December 2010

Kesilapan Kita Dalam Mendidik Anak

(Sumber: Sebutir Kasih Sejuta Sayang)

Hati kita sebagai ibu-bapa kadangkala terusik kenapa anak-anak yang telah diberi pelajaran yang secukupnya dalam bidang Fardhu Ain, masih mengalami masalah salah-laku?

Qurannya sudah khatam (habis dibaca), solat, wuduk, puasa dan lain-lain sudah dikuasai ilmunya, tetapi mengapa masih jahat juga?

Tak cukupkah lagi dengan pengajaran yang diberi?
Atau ada ‘kebocoran’ di mana-mana sewaktu proses mengajar dan mendidik?.
Masalah ini perlu disuluh secara teliti, dan dengan pemikiran yang lebih kritis. Kenapa benih padi yang kita tanam, lalang pula yang tumbuh?
Apapun, pada saya ini masalah ini tentu ada kaitannya dengan perkara asas dan teras. Ya, ini berpunca daripada masalah tauhid – keyakinan dalam hati yang menjadi punca perlakuan dan tindakan.
Tauhid atau akidah adalah ilmu asas yang paling awal wajib diajarkan kepada anak-anak. Tujuan ilmu Tauhid adalah untuk memperkenalkan Allah menerusi nama dan sifat kebesaran-Nya. Kenal akan Allah – ertinya kenal akan sifat-sifat kesempurnaan-Nya yang serba ‘Maha’ seperti Maha Pengasih, Penyayang, Memiliki, Suci, Sejahtera, Memelihara dan sebagainya. 

Apabila sudah mengenali sifat-sifat kesempurnaan Allah ini maka diharap akan timbullah rasa kasih, malu, kagum, sayang, takut, harap, hina, rindu, cinta dan lain-lain dalam diri anak-anak. Apabila timbul rasa-rasa itu maka itulah nanti yang akan mempengaruhi tindakan, percakapan dan perasaannya. Tindakannya adalah tindakan orang yang takut dengan Allah. Percakapannya adalah percakapan orang yang cintakan Allah. Begitulah seterusnya, setiap rasa tertentu akan melahirkan tindakan atau perbuatan yang selaras dengan rasa itu…

Selalu diungkapkan, “tak kenal maka tak cinta.” Untuk cinta, mesti kenal. Maksudnya, jika seorang anak itu benar-benar kenalkan Allah, maka sudah pasti ia cintakan Allah. Dan apabila dia telah cintakan Allah, maka dengan sendirinya lahir perbuatan-perbuatan yang selaras dengan rasa cintanya itu. Apa yang Allah suka, dilakukannya. Apa yang Allah benci, ditinggalkannya.

Tetapi sekiranya lahir perbuatan-perbuatan negatif (menyalahi kehendak Allah), maka itu menunjukkan ia tidak mempunyai rasa cinta. Bila dia tidak mempunyai rasa itu, ini bermakna dia tidak benar-benar kenal akan Allah. Lalu kita bertanya, mengapa seseorang itu masih tidak kenalkan Allah walaupun telah sekian lama diperkenalkan kepada-Nya melalui pengajaran ilmu Tauhid?

Bukankah anak kita sudah tahu yang Tuhannya bernama Allah?
Dia pun sudah menghafal sifat-sifat yang wajib,mustahil dan harus bagi-Nya. Sesetengah anak kita, malah sudah hafaz semua nama-nama Allah yang baik (Asmaul Husna).
Tetapi hairan juga kita kenapa dia tegamak melakukan sesuatu yang bertentangan dengan apa yang dipelajarinya? Dengan kata yang lain, kenapa pengetahuan Tauhidnya tidak berperanan langsung dalam kehidupannya?
Pada pandangan saya, ada beberapa sebab, mengapa pengajaran dan pendidikan ilmu tauhid yang kita sampaikan kepada anak-anak tidak berkesan. Antara sebab-sebab itu ialah:

1. Tidak memanfaatkan usia muda yang paling optimum.Usia yang paling optimum untuk menanamkan ilmu Tauhid ialah antara 8 bulan hingga 8 tahun.
Pada waktu ini fitrah anak-anak sungguh bersih, ditambah pula oleh fikiran, perasaan dan jiwanya yang mula berkembang. Usia ini sepatutnya digunakan sepenuhnya untuk memperkenalkan Allah secara mudah, ‘natural’, santai dan berterusan.
Hujjah akal tidak diperlukan sangat. Yang penting, memberitahu, menetapkan dan meyakinkkan.
Dalil dan pemikiran rasional tidak dituntut justeru pada usia sebegini selalunya akan-anak menerima sahaja input yang kita berikan kepada mereka. Katakan, Allah itu Penyayang, Allah itu Pengasih, Allah itu Penyabar… maka anak-anak akan menerimanya tanpa soal lagi.
Sayangnya, tempoh usia muda ini selalunya diabaikan oleh ibu-bapa dengan alasan, “biarlah… mereka tidak tahu apa-apa, mereka masih kecil lagi.” Sedangkan hakikatnya, pada usia itulah mereka sangat bersedia untuk dicorakkan oleh apa sahaja yang disogokkan menerusi pembukaan semua ‘tingkap’ yang diwakili oleh seluruh pancaindera mereka. Mereka, hakikatnya boleh tahu ‘apa sahaja’. Lalu alangkah baiknya, jika peluang dan ruang ini diisi untuk memperkenalkan Tuhan kepada mereka. Pesan ulama:“Awal beragama adalah mengenal Allah.”
Selalunya, orang yang paling awal kita kenali dalam hidup, maka orang itulah yang paling besar pengaruhnya dalam kehidupan kita apabila dewasa.
Pakar-pakar psikologi menggunakan istilah ‘pelaziman individu rapat yang berpengaruh’ untuk menerangkan hal ini. Sebab itu anak-anak yang telah diperkenalkan kepada Allah sejak kecilnya, akan membentuk menjadi orang dewasa yang dipengaruhi oleh rasa tauhid yang mendalam.
Tauhid umpama benih yang disemai pada awal usia, dan akan tumbuh membesar selaras dengan pertambahan usia. Ibu-bapa yang bijak, akan memanfaatkan masa perbualan, waktu makan, waktu bermain dan apa sahaja waktu bersama anaknya untuk memperkenalkan Tuhan.

2. Tidak manfaatkan unsur alam bagi memperkenalkan Tuhan.Alam ini tandanya adanya Tuhan.
Bukan sahaja alam ini membuktikan Tuhan itu ada, tetapi alam juga membuktikan Tuhan Allah maha Berkuasa…
Soalnya bagaimana hendak diperlihatkan dan dirasakan kepada anak-anak itu akan kebesaran dan keperkasaan Tuhan menerusi penciptaan alam ini? Mudah sahaja, tunjukkan dulu akan kebesaran dan kehebatan alam ini.
Terangkan betapa teraturnya alam ini dengan bulan, bumi dan matahari sentiasa bergerak dan beredar dalam orbit masing-masing. Dari pusingan dan peredaran itu terjadilah siang dan malam, hari, minggu, bulan dan tahun.
Betapa sukarnya kita hendak menggerakkan sesuatu, perlukan tenaga dan daya yang kuat… maka tentulah Tuhan yang menggerakkan seluruh semesta alam ini lebih kuat, dan lebih berkuasa.
Ertinya, sains adalah ilmu yang paling signifikan untuk menanamkan rasa tauhid dalam diri anak-anak. Bukankah sejarah pencarian Nabi Ibrahim untuk mengenali Tuhan ‘terpaksa’ melalui liku-liku dalam ilmu sains? Baginda melihat betapa besarnya kejadian ciptaan Tuhan – seperti bintang, bulan dan matahari. Timbul rasa kagum dalam dirinya akan kehebatan ‘ciptaan-ciptaan’ itu.
Lalu itu semua pernah disangkanya sebagai Tuhan…
Namun oleh kerana ‘kebesaran’ kejadian-kejadian itu akhirnya dilindungi oleh yang lain, maka baginda merasakan tentu ada lagi zat lain yang ‘Maha besar’ – yang mengatasi kebesaran bintang, bulan dan planet-planet itu. Maka pada ketika itulah Nabi Ibrahim diperkenalkan kepada Allah oleh malaikat Jibrail.
Maka kaedah yang sama perlu digunakan masakini.
Bawa anak-anak melihat ‘kebesaran’ alam dalam perjalannnya melihat kebesaran Tuhan. Selagi anak-anak tidak nampak kebesaran alam ciptaan Tuhan ini maka sukar baginya merasakan kebesaran Tuhan yang menciptanya. Oleh itu anak-anak mesti didedahkan selalu kepada pelajaran Sains. Bawa dia dekat dengan alam. Kemudian tarik dirinya untuk mengenal Allah yang mencipta alam.
Menerusi penciptaan planet, haiwan, tumbuhan dan sebarang organisma yang begitu teratur, unik dan indah maka selitkan bahawa ada zat yang Maha Pengatur, Maha Besar dan Maha Indah.
Tidak mungkin segalanya tercipta dengan sendirinya… tentu ada yang Mencipta. Tidak mungkin alam itu teratur tanpa sengaja… tentu ada yang mengaturnya. Bukan sahaja ada yang mencipta dan mengatur, tetapi yang mengatur itu Maka Berkuasa dan Maha Perkasa.
Maksud ilmu sains di sini bukanlah yang begitu rumit dan kompleks sehingga ibu-bapa terpaksa membuat kajian dan rujukan. Tetapi memadailah jika alam ini dijadikan latar atau alat untuk memperkenalkan Tuhan. Bila hujan, tanyakan kepada anak, “siapa jadikan hujan?”
Bila dibawa melawat zoo, melihat berbagai-bagai jenis haiwan, maka usik anak-anak kita dengan pertanyaan-pertanyaan yang boleh memperingat dan memperkenalkan Tuhan kepada mereka. “Agak-agak, ibu monyet tu sayang ke anaknya?” Nanti bila anak kita mengiyakannya, maka kita katakan, “pandai, kalau tak sayang tak kanlah dikendong anaknya ke sana kemari. Semua tu telah Allah dah aturkan. Allah Maha Bijaksana!”

3. Memperkenalkan dahulu sifat-sifat Allah yang Maha Keras.Menerusi tertib penurunan wahyu, Allah telah memperkenalkan dahulu sifat-sifat-Nya yang lembut, baik, pemurah, penyayang… sebelum memperpekalkan sifatnya yang Maha membalas, punya siksa yang Maha pedih dan sebagainya.
Ini juga satu kaedah untuk menyuburkan rasa tauhid ke dalam diri anak kita. Kenalkan dahulu sifat-sifat yang mendatangkan rasa ‘cinta’ daripada rasa ‘takut’.
Walaupun cinta dan takut itu wajib ada dalam diri anak-anak, tetapi dalam kaedah menanamkannya ke dalam hati, rasa cinta mesti di dahului daripada rasa takut.
Kenapa agaknya, kaedah semacam itu perlu dipilih untuk mendidik rasa tauhid? Sebab, Allah mahu menimbulkan rasa dekat, rasa cinta dan rasa sayang para hamba terhada diri-Nya.
Dengan rasa cinta, sayang itu barulah hamba-Nya merapatkan diri. Datanglah pengabdian dan ketaatan hasil rasa cinta. Selepas itu barulah diperkenalkan-Nya sifat-sifat yang menggerunkan seperti Dia memiliki siksa yang amat pedih, Maha Merendahkan, Maha Pengancam dan sebagainya.
Ertinya, anak-anak mesti dididik dengan rasa cintakan Allah berdasarkan sifat-sifat dan nama-nama-Nya yang lembut lebih dahulu sebelum rasa takut berasaskan sifat dan nama-nama-Nya yang keras.
Malangnya, ini tidak berlaku. Bila anak melakukan kesalahan, maka kita ugut dia… nanti Allah humban dalam neraka. Bohong? Lidah kena gunting dengan api! Akibatnya, anak-anak akan mengenali Allah sebagai Tuhan Maha menghukum, Maha mengazab dan sebagainya.
Betul, demikian tetapi salah caranya. Kenapa tidak Tak diterangkan misalnya, bila hujan turun… kita katakan, wah Allah sayang kita. Bila berdepan dengan juadah yang banyak, kita kan syukur banyaknya rezki kita malam ni… ini bukti Allah Pemurah.
Bila anak-anak melakukan kesalahan, kita anjurkan dia meminta maaf… katakan bahawa Allah itu Maha Pengampun! Walaupun Tauhid itu ajaran yang penting, tetapi kaedah tepat untuk menyampaikannya juga sangat penting. Justeru, betapapun bahan masakan berzat tetapi kalau silap kaedah memasaknya, maka musnah jua akibatnya!

~Berhenti apabila cukup, memadai apabila sederhana~

No comments:

Post a Comment